Halal News & Events
Developments
Press Release
Back to News & Events site
Harian Metro, 22 Mac 2005
Prima Dapat Petunjuk
Dalang SMS Sabotaj
BANGI: Prima Agri-Products Sdn Bhd kini hampir
menemui petunjuk dalang yang menyebar SMS berunsur fitnah mendakwa
sosej keluaran syarikatnya menggunakan usus haiwan yang disyaki
babi.
Ketua Eksekutif dan Pengasas Prima Agri-Products, Datuk Jamaludin
A Kadir, berkata pihaknya yakin mereka yang terbabit menyebar
SMS berkenaan akan diketahui dalam masa terdekat.
"Kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak
itu, termasuk menyaman mereka.
"Kami juga akan membuat laporan polis tidak lama lagi."
Katanya dalam sidang media di kilang pengeluaran produk syarikatnya
di Bandar Baru Bangi, di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya percaya mereka yang terbabit menyebarkan
mesej berunsurkan fitnah itu bertujuan menjatuhkan syarikatnya.
Siasatan juga menunjukan penghantar SMS itu mungkin dikalangan
individu yang berkemungkinan diupah pihak tertentu untuk memburukkan
nama baik produk jenama Prima.
"Kejadian kali ini yang pertama sejak mula beroperasi kira-kira
17 tahun lalu dan perniagaan menghasilkan makanan." katanya
yang mendakwa penyebaran SMS itu boleh menjejaskan keyakinan
masyarakat Islam terhadap produk keluaran syarikatnya.
Katanya, setiap produk dihasilkan dijamin halal dan ia disahkan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Syarikatnya milik penuh Bumiputera yang komited kepada pengeluaran
produk halal menggunakan ramuan utama membuat sosej daripada
dada ayam, rempah ratus dan lemak kelapa sawit.
Produk sosej yang dihasilkan tidak menggunakan usus haiwan dan
semua pekerja di bahagian pembuatan beragama Islam.
"Sarung sosej yang digunakan syarikat kami adalah jenis
cellulose casing dibuat daripada tumbhan yang mendapat pengiktirafan
dan pengesahan Jakim, Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Kementerian
Kesihatan dan ISO 9001," katanya.
Bagi memberi kenyakinan terhadap pengguna Islam, Jamaludding
berkata, pihaknya akan membelanjakan lebih RM 100,000 bagi mengiklankan
perakuan halal semua produk keluaran syarikatnya yang disahkan
Jakim.
Penyebaran SMS yang mengaitkan empat syarikat pengeluar sosej
kononnya menggunakan usus haiwan disyaki babi tersebar selepas
pihak berkuasa menyerbu dua kilang di Selayang dipercayai menggunakan
usus haiwan disyaki babi untuk menghasilkan sarung sosej dan
menggunakan logo halal palsu.
Kilang terbabit diarahkan tutup serta merta dua minggu bagi
membolehkan siasatan dijalankan.
|